Kerja-kerja besi ataupun tetulang merupakan salah satu fasa penting di dalam pembinaan rumah atau bangunan. Ia merupakan salah satu bahan penting yang memberikan kekuatan kepada struktur bangunan tersebut. Fasa ini melibatkan proses memotong membengkok, mengikat dan memastikan setiap tetulang tersebut dipasang mengikut posisi seperti mana yang terdapat di dalam pelan besi yang telah diluluskan oleh jurutera. Oleh itu, individu seperti kontraktor dan penyelia tapak seharusnya mampu membaca pelan besi bagi sesuatu projek dengan baik. Maklumat seperti jenis-jenis keluli bar, saiz keluli bar, jumlah dan berat keluli adalah antara aspek yang perlu diketahui bagi pihak pengurusan projek. Manakala, kemahiran membengkok, mengikat dan membaca pelan besi adalah penting buat pekerja bina di tapak bagi memastikan kualiti atau hasil akhir yang memuaskan sebelum memasuki fasa kerja-kerja pengkonkritan. Terdapat pelbagai jenis-jenis keluli bar yang digunakan di dalam sesebuah projek antaranya, Mild Steel Bar, High Yield Bar dan besi BRC. Setiap daripada keluli bar ini mempunyai sifat-sifat tertentu dan digunakan pada bahagian-bahagian tertentu di dalam sesebuah bangunan. Oleh itu, pengetahuan terhadap besi keluli bar adalah sangat penting di dalam memastikan kekuatan struktur bangunan. Setiap daripada tetulang ini akan dibentuk mengikut pelan besi, ia akan melibatkan banyak proses pemotongan dan pembengkokkan bagi menyesuaikan dengan rupa bentuk akhir rumah ataupun bangunan. Di dalam proses mengikat tetulang pula, terdapat bermacam jenis ikatan yang perlu dikuasai oleh pekerja tapak bina seperti teknik Slash, Ring Slash, Hair Pin, Ring Hair Pin, Splice dan Crown. Kemudian sebelum selesai proses kerja-kerja besi atau tetulang, blok perenggang atau concrete spacer perlu disediakan. Blok peranggang ini amat penting bagi menentukan jarak tetulang dan permukaan konkrit, mengelakkan keluli bar dari melentur dan memastikkan tetulang tidak bergerak semasa kerja-kerja mengkonkrit
0 Comments
|
Archives
July 2023
|